MyDigital ID akan menjadi platform log masuk tunggal untuk aplikasi MyNIISe bagi rakyat Malaysia mulai 15 Jan, meningkatkan keselamatan transaksi imigresen digital.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan penggunaan MyDigital ID sebagai platform log masuk tunggal bagi aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) mulai 15 Jan ini.
Inisiatif ini khusus untuk rakyat Malaysia, manakala kaedah log masuk sedia ada bagi pengguna warga asing akan kekal tanpa perubahan.
Menurut KDN, pelaksanaan MyDigital ID bertujuan mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.
Pendekatan ini tidak menyimpan data peribadi pengguna dalam sistem MyNIISe.
“Pendekatan ini meningkatkan keselamatan transaksi digital serta memudahkan pengalaman pengguna melalui satu log masuk tunggal tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan,” menurut kenyataan kementerian itu.
KDN menyarankan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas memuat turun dan mendaftar aplikasi MyDigital ID terlebih dahulu.
Aplikasi tersebut boleh didapati di gedung aplikasi seperti Apple App Store, Google Play dan Huawei Gallery.
Aplikasi MyNIISe mula digunakan di pintu masuk negara di Johor pada 22 September lepas.
Ia akan diperluaskan secara berperingkat ke lapangan terbang utama termasuk KLIA, Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu.
Sehingga 30 Disember lepas, MyNIISe mencatatkan 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.
KDN memaklumkan pelaksanaan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan yang selamat dan berfokuskan rakyat.








