Seorang pemandu lelaki ditahan selepas merempuh palang keselamatan di Istana Negara dalam keadaan mabuk, dengan bacaan alkohol melebihi had.
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu mabuk ditahan selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku pada 3.30 pagi.
Beliau berkata pemandu lelaki berusia 21 tahun itu memandu sebuah Toyota Vios dari arah Bukit Damansara ketika kejadian.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Kemalangan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kereta serta tiang bollard dan palang keselamatan.
Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup dan merakam percakapan untuk siasatan.
Ujian pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu ialah 166 miligram per 100 mililiter darah.
Bacaan itu melebihi had alkohol yang dibenarkan di sisi undang-undang.
Pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pemandu itu didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk prosiding pendakwaan.








