Proses pembukaan 251 sampul undi pos bagi PRK Parlimen Kinabatangan bermula di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan hari ini
KINABATANGAN: Proses pembukaan sampul undi pos bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan bermula pada pukul 2 petang ini.
Ia membabitkan pengundi dari kawasan Dewan Undangan Negeri Sukau.
Proses itu berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan dan disaksikan petugas SPR, ejen calon serta pemerhati pilihan raya.
Berdasarkan siaran langsung SPR, sebanyak 251 sampul undi pos akan dibuka.
SPR sebelum ini memaklumkan sebanyak 446 kertas undi pos dikeluarkan kepada pengundi pos bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Parlimen Kinabatangan memiliki 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi hari ini.
DUN Lamag pula mempunyai 13,515 pengundi.
Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan 93% atau 176 anggota polis telah mengundi awal bagi kedua-dua PRK itu.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
PRK DUN Lamag pula pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lepas.








