Penolong pegawai tanah kanan di Kemaman didakwa tiga kesalahan salah guna kuasa untuk seleweng tanah kerajaan bagi kepentingan anak-anaknya
KUALA TERENGGANU: Seorang penolong pegawai tanah kanan di Pejabat Tanah Kemaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menyeleweng tanah kerajaan.
Tertuduh Md Zaid Abd Rahim, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Md Zaid yang juga Ketua Unit Pemberimilikan Permohonan Tanah Individu mengarahkan penolong pegawai tanah menukar pelan asal lot tanah di Mak Lagam, Kemaman dalam permohonan tanah anak lelakinya berusia 28 tahun.
Permohonan tersebut kemudiannya diluluskan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengarahkan pembantu tadbir meminda keluasan asal lot tanah daripada 650 meter persegi kepada 851 meter persegi.
Pertuduhan ketiga mendakwa dia mengarahkan pembantu tadbir memasukkan nama anak lelakinya yang berusia 22 tahun sebagai pemohon dalam Rancangan Tanah Berkelompok di Teluk Nyiur, Mak Lagam.
Permohonan tersebut juga telah diluluskan.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Tanah Kemaman pada 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan Md Zaid diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof.
Tertuduh diwakili peguam Abdul Aziz Hassan. – Bernama







