Perkeso bercadang beri pengecualian kepada PKS daripada kewajipan lapor kekosongan jawatan, dengan moratorium dua tahun sebelum pindaan dikuatkuasakan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bercadang memberikan pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada kewajipan melaporkan kekosongan atau pewujudan jawatan baharu.
Cadangan itu susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang baru diluluskan.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata perkara itu tertakluk kepada hasil rundingan dengan pihak berkepentingan.
Beliau berkata Perkeso akan bekerjasama dengan majikan serta pekerja bagi memperincikan pelaksanaannya.
Sim berkata tempoh moratorium dua tahun akan diberikan sebelum pindaan dikuatkuasakan.
“Tiada tindakan atau penalti dikenakan jika gagal melaporkan kekosongan jawatan dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Matlamat sistem itu adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang pekerjaan terbaharu.
Ia juga bertujuan membantu syarikat memadankan kekosongan jawatan dengan kumpulan bakat serta memperoleh data pasaran buruh yang tepat.
“Proses pelaporan adalah mudah, secara dalam talian dan automatik,” jelas Sim.
Tempoh moratorium akan digunakan untuk membantu serta membimbing pihak berkepentingan menyesuaikan diri dengan sistem berkenaan.
Pindaan Akta SIP itu turut merangkumi penambahbaikan elaun pengangguran, subsidi latihan kemahiran dan elaun mobiliti bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang SIP (Pindaan) 2025 pada Selasa lalu.
Pindaan itu antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Perkeso yang kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus skim insurans pekerjaan. – Bernama







