PM Anwar terima panggilan dari Presiden AS Donald Trump, bincang konflik sempadan Kemboja-Thailand dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai konflik sempadan Kemboja-Thailand.
Anwar berkata beliau menerangkan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan.
“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN,” katanya dalam hantaran Facebook.
Perdana Menteri itu berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN tidak lama lagi.
Meskipun gencatan senjata dipersetujui di Kuala Lumpur pada 24 Julai dan Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani pada 26 Oktober, pertempuran telah tercetus semula baru-baru ini.
Pertempuran terbaharu itu dilaporkan mengakibatkan beberapa kematian dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Anwar turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN semasa perbincangan tersebut.
Beliau juga menyatakan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Perbincangan itu turut membangkitkan hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara. – Bernama







