the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, June 21, 2026
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Polis Pahang tubuh pasukan petugas, cegah kes kecurian di tapak projek ECRL

KUANTAN: Polis Pahang akan menubuhkan pasukan petugas bagi mencegah kes kecurian di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini.

Ketua Polis Negeri Datuk Seri Yahaya Othman berkata kegiatan berkenaan sememangnya berada di bawah pemerhatian pihaknya selepas menerima 10 laporan polis berkaitan kes kecurian di lokasi pembinaan projek itu sejak bulan lepas, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM200,000.

Beliau berkata kes melibatkan kecurian kabel dan besi dilaporkan berlaku di laluan projek ECRL di Cherating, Gebeng dan Gambang di sini dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kita masih mengesan individu yang terlibat dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Yahaya memaklumkan mereka yang terlibat dengan kes kecurian kabel boleh didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membencanakan kabel dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata pihaknya turut mencadangkan pihak pengurusan projek berkenaan mendapatkan khidmat polis bantuan bagi mengekang kes kecurian daripada terus berlaku.

“Kami sedia bekerjasama dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam mengatasi masalah ini selain orang ramai juga diminta melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mana-mana pihak yang ingin menjual kabel dan barang pembinaan lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran agar masyarakat tidak membeli barangan yang dicuri kerana ia juga merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek.

Sebelum itu, MRL melahirkan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

US and Iran set for talks as Lebanon conflict threatens deal

The first round of negotiations between the United States and Iran since the two sides signed a preliminary agreement to halt their war is due to begin in Switzerland, with the conflict in Lebanon threatening the deal.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings