Kerajaan Negeri Sembilan perkasa Port Dickson sebagai hab pelancongan sukan dengan acara berimpak tinggi dan strategi pemasaran antarabangsa
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mempergiat pembangunan pelancongan sukan sebagai strategi utama memacu pertumbuhan ekonomi.
Fokus diberikan kepada promosi Port Dickson sebagai destinasi sukan bertaraf nasional dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mustapha Nagoor berkata pelbagai acara sukan berimpak tinggi telah dianjurkan di daerah itu sepanjang tahun ini.
Antara acara utama ialah Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 di PD Forest @ Sungai Menyala yang menarik 154 peserta dari sembilan negara.
Acara itu meletakkan Port Dickson sebagai destinasi baharu sukan orienteering di rantau ini.
“Selain itu, acara lain yang dianjurkan termasuk PD 2KM OWS Classic, Port Dickson Triathlon 2025, Sungai Menyala Forest Trail 2025, BWF Asia Pacific AirBadminton Championship 2025, Cabaran Ombak dan Eksplorasi Port Dickson 2025, 3rd Malaysia National & Merdeka Fest Open Water Swimming Championship, PD Golf ASEAN 2025 serta Petronas LE Tour de Langkawi Malaysia 2025,” katanya di Dewan Undangan Negeri.
Mustapha menjawab soalan Dr G. Rajasekaran mengenai usaha kerajaan negeri meningkatkan potensi pelancongan sukan di Port Dickson.
Beliau berkata acara lain seperti Port Dickson Amphibian Race, Army Half Marathon, dan Port Dickson Surfcasting 2025 turut menyumbang kepada kehadiran pelancong sukan.
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melaksanakan pelbagai usaha strategik memperkukuh ekosistem pelancongan sukan.
Kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan khas bagi projek pelancongan dan warisan.
Peruntukan itu menyokong pelaksanaan program sukan berimpak tinggi serta memperkukuh Port Dickson sebagai destinasi utama di dalam negara dan Asia Tenggara.
“Usaha termasuk penyediaan kalendar acara sukan tahunan berfokus pantai, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti sukan pantai, pembangunan komuniti dan tenaga kerja tempatan.”
“Untuk tarikan antarabangsa, program acara sukan luar negara dirancang mengadaptasi model Gold Coast,” katanya.
Mustapha menambah kerajaan negeri memberi fokus kepada strategi pemasaran antarabangsa.
Pemasaran menumpukan pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Eropah dan Timur Tengah yang menunjukkan minat tinggi terhadap aktiviti sukan pantai dan pengembaraan.
Port Dickson juga dirancang memperkenalkan konsep “after-sport wellness” bagi menambah nilai pengalaman pelancong sukan.
Konsep itu dilaksanakan melalui penyediaan pusat spa, rawatan fisioterapi dan program kesihatan yang menekankan keseimbangan antara aktiviti sukan dan rekreasi. – Bernama







