KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) diminta memberikan senarai penambahbaikan peraturan kebenaran persembahan artis luar negara kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) minggu depan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata senarai berkenaan diperlukan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan perbuatan biadab yang berlaku pada konsert kumpulan The 1975 ketika Festival Good Vibes 2023 di Sepang, semalam, berulang.
“Saya telah arahkan supaya pihak PUSPAL beri senarai penambahbaikan tatacara kepada saya minggu depan serta proses untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI di sini hari ini.
Katanya beliau telah berjumpa pihak PUSPAL pada Jun lepas dan diberitahu bahawa mereka tidak menerima penyertaan (kumpulan muzik) The 1975 dalam festival itu.
“Tetapi pihak penganjur buat rayuan. Dalam surat rayuan itu, mereka sertakan surat aku janji daripada pengurus kumpulan berkenaan yang menyatakan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk konsert kumpulan itu,” katanya.
– Bernama









