Shamsul Iskandar dijangka beri keterangan kepada SPRM esok berhubung dakwaan rasuah Albert Tei, siasatan dijangka selesai dalam dua minggu
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dijangka hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok untuk memberi keterangan mengenai dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan kertas siasatan telah dibuka susulan laporan sebuah portal berita.
“Setakat ini, tiga saksi telah dipanggil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azam berkata Albert Tei akan dipanggil pada 1 Disember selepas memohon penangguhan atas masalah teknikal.
Seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular bersama Albert telah memberi keterangan pada pukul 2 petang tadi.
“Semua individu yang diarahkan hadir perlu memberikan kerjasama penuh bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan segera,” tegas Azam.
Beliau mengarahkan pegawai menyiapkan siasatan dalam tempoh dua minggu memandangkan kes ini dianggap serius.
Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri pada 25 November lepas.
SPRM sebelum ini memaklumkan siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan Albert dan Shamsul Iskandar sedang dijalankan. – Bernama







