the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, June 24, 2026
21.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Siasatan salah guna kuasa pegawai, semua faktor akan diteliti – Adly

ALOR GAJAH: Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan melihat semua faktor termasuk pengasingan kuasa agar siasatan berkaitan salah guna kuasa oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilakukan dengan lebih terbuka dan telus.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya mempunyai proses dan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam memberi keadilan kepada pihak terlibat apabila sesuatu isu berbangkit terutama berkaitan masalah salah guna kuasa yang dilakukan oleh mana-mana pihak tanpa mengira pangkat.

“Kita di kementerian tidak nafikan menerima semua laporan sama ada pada peringkat dalaman atau luar termasuk melibatkan laporan polis dan kerana itu siasatan peringkat dalaman amat penting.

“Sekiranya ada terkait dengan pegawai-pegawai tertentu, kita ketepikan dulu kuasa pegawai terbabit supaya penyiasatan dapat dilakukan secara bebas, manakala mangsa ini dapat keluar daripada trauma,“ katanya kepada pemberita selepas hadir ke Karnival Rahmah Parlimen Alor Gajah di Dataran Keris Alor Gajah di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanan TDM di Sarawak, terhadap seorang lagi pegawainya.

Markas TDM dalam kenyataan memaklumkan laporan polis telah dibuat mangsa pada Ahad lepas, berikutan kejadian yang didakwa berlaku semasa mangsa sedang menjalani latihan peringkat formasi dan laporan berkenaan telah tular dalam media sosial.

TDM juga menjelaskan sebagai tindakan, pegawai kanan itu telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Adly berkata Kementerian Pertahanan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima semua laporan dan pihak yang tidak berpuas hati selepas siasatan dilakukan boleh mengemukakannya kepada kementerian. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Politics not key factor for foreign investors, says MITI

Malaysia’s investment performance shows political speculation is not the main driver for foreign investors, says MITI, citing RM1.7 trillion in approved investments from 2021 to 2025.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings