Status MIC dalam Barisan Nasional akan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Januari depan, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
SEKINCHAN: Status MIC akan dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Januari tahun depan.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata perkara itu tidak termasuk dalam agenda Perhimpunan Agung UMNO 2025.
“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan agung, kerana status UMNO dengan MIC sama saja dalam Barisan Nasional, kita akan adakan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Januari tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di sini.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran berkata ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat untuk diteliti.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid meminta perwakilan Sabah membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Tarikh PRK itu bertindih dengan Perhimpunan Agung UMNO 2025.
“Namun, jika mereka telah membeli tiket dan menempah bilik, kita tidak menghalang untuk mereka datang ke perhimpunan agung,” katanya.
Beliau berkata perhimpunan agung akan disiarkan secara dalam talian di semua 25 bahagian UMNO di Sabah.
Ahmad Zahid mencadangkan perwakilan berkumpul di Ibu Pejabat UMNO Sabah di Kota Kinabalu untuk mengikuti persidangan itu.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Januari 2026.
Hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag ditetapkan pada 24 Januari 2026.
Penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari. – Bernama








