the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, January 22, 2026
27.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

STRIDE gubal kerangka pembangunan dron pertahanan hadapi ancaman moden

STRIDE sedang gubal kerangka pembangunan dron pertahanan negara sebagai persediaan menghadapi ancaman peperangan moden, kata Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sedang menggubal kerangka pembangunan dron pertahanan negara sebagai persediaan menghadapi ancaman peperangan moden, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penggunaan dron dan teknologi baharu kini menjadi antara bentuk ancaman utama dalam landskap keselamatan semasa, justeru persediaan awal perlu dibuat bagi memastikan keupayaan pertahanan negara.

“Kita menumpukan kepada bidang baharu, khususnya ancaman peperangan moden yang banyak melibatkan penggunaan dron.

“Dalam konteks ini, STRIDE diberi tanggungjawab merangka pembangunan dron pertahanan negara bagi memastikan kita bersedia menghadapi ancaman baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai bentuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan dibangunkan menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan semalam.

Mohamed Khaled menjelaskan bahawa DIPN adalah kerangka berterusan yang akan berkembang mengikut keperluan dan kemajuan teknologi pertahanan.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan DIPN bergantung kepada pembinaan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi yang kukuh, yang terbuka kepada pelbagai bidang dalam industri pertahanan.

“Ini bermakna ia terbuka kepada pelbagai bidang. Pada peringkat permulaan, kita tidak bercadang membina kelengkapan seperti kapal terbang, tetapi memberi tumpuan kepada komponen serta kerja pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.

Mengenai projek Kapal Misi Pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibina di Turkiye, Mohamed Khaled berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan tertentu pada waktu tersebut.

Beliau berkata bagi projek akan datang, kerajaan akan mengehadkan pembinaan di luar negara kepada satu kapal sahaja, manakala selebihnya perlu dibina di dalam negara bagi membolehkan pemindahan kepakaran dan pengalaman kepada industri tempatan.

Menurutnya, pelancaran DIPN turut menggariskan beberapa langkah khusus untuk memajukan industri pertahanan, termasuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam semua perolehan aset pertahanan tanpa pengecualian.

“Ini antara dasar yang menjadi asas permulaan untuk membangunkan industri pertahanan tempatan. Setakat ini, terdapat 15 MRO yang dikendalikan syarikat luar negara (OEM) dan kita yakin rakyat Malaysia sudah boleh mengambil alih operasi MRO tersebut,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Oxford Innotech secures RM4.8m data centre supply contract

The contract, which will run through end-2026, is expected to contribute positively to Oxford Innotech Bhd’s earnings in the current financial year, reinforcing the group’s execution strength in mission-critical infrastructure projects.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories