Thursday, November 13, 2025
22.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sultan Nazrin ingatkan komunikator waspada kesan AI terhadap kebenaran

Sultan Nazrin Shah tekankan tanggungjawab komunikator hadapi cabaran AI dan maklumat salah dengan kebijaksanaan, empati dan komitmen kepada kebenaran

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan meskipun kecerdasan buatan sedang mengubah cara penciptaan dan perkongsian maklumat, ia turut menimbulkan cabaran baharu terhadap kebenaran.

Baginda bertitah adalah menjadi tanggungjawab komunikator seperti wartawan, ahli strategis, pendidik dan pemimpin untuk memanusiakan teknologi.

“Bagi memastikan inovasi tidak sama sekali menggantikan empati, dan kepantasan tidak melangkaui keikhlasan,” titah Sultan Nazrin dalam titah diraja pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global Malaysia 2025 hari ini.

Baginda menegaskan dalam era maklumat salah tersebar lebih pantas berbanding pemahaman, cabaran ini perlu didepani dengan kebijaksanaan dan komitmen teguh terhadap kebenaran.

Sultan Nazrin bertitah nilai kemanusiaan perlu terus dipupuk sebagai asas komunikasi berkesan dalam era digital.

“Kekuatan Malaysia adalah pada kepelbagaian yang menyatukan dan tutur bicara seharusnya menyatukan bukan memecahbelahkan,” titah baginda.

Sebagai seorang raja, baginda sentiasa menyedari bahawa tutur bicara mempunyai pengaruh yang amat besar.

“Ketertiban wacana nasional kita menjadi cerminan kepada tahap kesantunan sesebuah negara,” titah Sultan Nazrin.

Komunikasi yang menyuburkan pemahaman, bukan yang menggugat emosi adalah sebahagian daripada apa yang mengekalkan kemuliaan institusi dan perpaduan rakyat.

Baginda menekankan tanggungjawab komunikator dalam kerajaan, perniagaan dan media untuk memelihara kebenaran, kesantunan dan ketepatan.

“Tutur kata yang kasar atau memecahbelahkan akan menghakis kepercayaan dan keharmonian,” titah Sultan Nazrin.

Mereka yang berkomunikasi secara terbuka wajar memilih perkataan dengan bijaksana kerana integriti bahasa membentuk asas utama kepercayaan awam.

Menjelang berakhirnya Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, baginda menyeru negara anggota mengutamakan kerjasama berbanding konfrontasi.

Sultan Nazrin turut menggalakkan komunikator serantau untuk merapatkan jurang dan menterjemahkan dasar kepada kefahaman.

Persidangan tiga hari itu julung kali dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia.

Ia menghimpunkan lebih 500 pemimpin komunikasi, profesional media, pembuat dasar dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang serta Presiden Institut Akhbar Malaysia Datuk Yong Soo Heong. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories