Polis Selangor tahan tiga lelaki tempatan bantu siasatan kes tembak di stesen minyak Bukit Tinggi, Klang, mangsa dikenalpasti suspek SOSMA.
SHAH ALAM: Polis mengesahkan penahanan tiga individu termasuk seorang remaja bagi membantu siasatan kes tembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua individu tersebut merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 35 tahun.
“Tangkapan dibuat di sekitar Klang dengan kesemua mereka kini ditahan reman hingga 17 Nov ini,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah di sini hari ini.
Beliau menekankan siasatan sedang dijalankan dari pelbagai aspek dan tidak hanya menjurus kepada kongsi gelap semata-mata.
“Dari segi siasatan, kita perlu lihat daripada pelbagai aspek berdasarkan latar belakang si mati (mangsa),” katanya tanpa mengulas lanjut.
Mangsa kes tembak itu telah dikenalpasti sebagai individu yang dikehendaki polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Lelaki berusia 34 tahun itu juga dilaporkan memiliki beberapa rekod jenayah lain sebelum kejadian tembakan berlaku. – Bernama






