UMNO Sabah senaraikan empat calon baharu untuk PRK Kinabatangan dan DUN Lamag, fokus kepada calon lelaki dan muka baharu untuk kemenangan selesa
KOTA KINABALU: UMNO Sabah telah mengenal pasti empat individu sebagai calon berpotensi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata parti sedang meneliti kriteria calon boleh menang hasil sesi libat urus bersama pimpinan akar umbi.
“Kita telah mengenal pasti beberapa calon dan saya mendengar apa-apa jua yang telah disuarakan pimpinan di peringkat akar umbi,“ katanya.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata bakal calon yang dikenal pasti adalah lelaki, muka baharu dan berpotensi memberi kemenangan lebih meyakinkan.
Beliau berkata pemilihan calon itu turut mengambil kira prestasi PRN Sabah baru-baru ini di Lamag.
Faktor kesihatan calon sebelumnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin juga diambil kira.
Jafry berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hasrat untuk mempertahankan kerusi Barisan Nasional di kedua-dua kawasan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026.
Penamaan calon dijadualkan pada 10 Januari dan pengundian awal pada 20 Januari.
PRK perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar pada 5 Disember lepas.
Sementara itu, Jafry berkata kepimpinan baharu UMNO Sabah komited meneruskan perjuangan parti secara lebih inklusif dan matang.
“Dalam kedudukan ini, keutamaan kami bukan sekadar kestabilan politik tetapi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan secara adil,“ katanya.
Beliau menegaskan UMNO Sabah dan BN beriltizam untuk menjadi rakan kerajaan yang matang, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Selain itu, Jafry turut mengumumkan beberapa perlantikan baharu dalam kepimpinan UMNO Sabah.
Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak kekal sebagai Bendahari UMNO Sabah.
Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dilantik sebagai Ketua Penerangan manakala Datuk Harun Durabi sebagai Penolong Setiausaha. – Bernama








