Usul gantung Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan ditangguh ke sesi akan datang, walaupun kerajaan kekal teguh mempertahankan imej APMM.
KUALA LUMPUR: Usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan telah ditangguhkan ke sesi mesyuarat akan datang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memohon penangguhan.
“Selepas mendengar hujah semua pihak dan menimbang hujah-hujah yang diberikan maka bagi pihak kerajaan, saya memohon supaya usul ini ditangguh dan dibawa pada sesi akan datang,” kata Shamsul Anuar semasa sesi penggulungan usul berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin mengenai latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang telah mencalarkan imej agensi berkenaan.
Beliau berkata kenyataan itu dibuat tanpa memberikan gambaran sebenar dan telah menjatuhkan martabat anggota yang menjaga keselamatan perairan negara.
Shamsul Anuar berkata ekoran kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu, APMM telah menerima kecaman yang amat teruk di media sosial.
“Oleh itu, menjadi kewajipan kerajaan (untuk mempertahankan APMM),” katanya.
Terdahulu, semasa membentangkan usul itu, Shamsul Anuar berkata Takiyuddin telah berucap mengenai kejadian melibatkan APMM di Masjid Rusila semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada 22 Oktober lalu.
Beliau mendakwa Takiyuddin dalam ucapannya telah mengaitkan kejadian tersebut dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat suci ibadat dan percubaan menakut-nakutkan rakyat.
Shamsul Anuar berkata ucapan itu telah memberi imej negatif terhadap anggota serta imej APMM sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.
Beliau menambah bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk dan Ahli Parlimen Marang masing-masing pada 6 dan 13 Oktober 2025 telah dimaklumkan oleh polis bahawa kejadian tersebut adalah sebahagian daripada latihan APMM.
Usul berkenaan menimbulkan suasana tegang di dewan dan Johari beberapa kali terpaksa menenteramkan keadaan semasa sesi perbahasan.
Takiyuddin, yang turut berbahas, memohon agar usul itu dipinda untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi memberi ruang kepada beliau untuk mempertahankan diri.







