KUALA LUMPUR: Usul menamakan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terus mendapat sokongan sebahagian besar mesyuarat Umno bahagian hari ini.
Ini termasuk Umno Bahagian Padang Terap, Kedah; Umno Bahagian Arau, Perlis dan Umno Bahagian Tampin, Negeri Sembilan.
Malah, di Pulau Pinang keseluruhan 13 Bahagian parti itu sebulat suara menyokong usul diketengah Majlis Tertinggi (MT) parti itu sebelum ini, menurut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata pihaknya juga membuat keputusan memberi tumpuan sepenuhnya kepada 13 Parlimen di negeri itu selepas kerajaan negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ini, Umno akan bertanding di lima kerusi Parlimen manakala MCA pula empat kerusi dan ada empat lagi kerusi yang sebelum ini Gerakan bertanding. Kerusi itu (Gerakan) akan ditentukan pucuk pimpinan, parti mana dalam BN yang akan bertanding, “ katanya.
Di Kedah, Ketua Umno Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata selain usul sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu, Umno bahagian itu turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti menyusun strategi memperkukuhkan Umno.
Turut diluluskan mesyuarat itu hari ini ialah usul supaya semua ahli parti bersiap siaga menghadapi PRU15 dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada di pusat, negeri, bahagian dan cawangan.
Di Negeri Sembilan, Ketua Umno Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata sokongan kepada Ismail Sabri dipersetujui berdasarkan keupayaannya menstabilkan semula suasana politik negara, walaupun menerajui kerajaan campuran.
Di Perlis, Ketua Bahagian Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bukan hanya Bahagian Arau bersetuju dengan keputusan MT itu, malah hampir semua bahagian membuat pendirian sama.
Di Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Umno Melaka berikrar menjadikan PRU15 sebagai ruang menghapuskan pengkhianat dan mereka yang berpaling tadah dan menderhaka kepada parti.
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, di sini hari ini yang dirasmikannya turut meluluskan usul melantik seorang ahli Parlimen BN dari Melaka sebagai menteri penuh. – Bernama









