Seorang wanita berusia 55 tahun ditemui mati di dalam rumah berkunci di Kampung Cheh Hilir, Kuala Kangsar, selepas bomba dipanggil untuk membuka pintu.
IPOH: Seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam sebuah rumah berkunci di Jalan Tanjung Seberang Kati, Kampung Cheh Hilir dekat Kuala Kangsar, malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.44 malam.
Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian untuk membuka pintu rumah berkenaan.
“Setelah pintu berjaya dibuka, terdapat seorang mangsa, iaitu wanita berusia lingkungan 55 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi bomba tamat pada 9.35 malam.








