KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, dua tahun lepas.
Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank Berhad miliknya di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 2 Dis 2021 hingga 22 Feb 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM420,000 dengan seorang penjamin bagi kes predikat (rasuah) yang dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen Jenayah 14.
“Mahkamah sebelum ini menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ibu pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Kami juga mohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 (Hakim Suzana Hussin) untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat,” katanya.
Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan berkenaan.
Rozina membenarkan permohonan mengenai jaminan dan syarat tambahan serta memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14.
Sebelum ini, Hakim Suzana telah menetapkan 15 hari bermula 27 Mei 2024 untuk perbicaraan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi Adam Radlan berkaitan Program Jana Wibawa.
Tertuduh juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua lagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan kes itu telah dipindahkan di Mahkamah Sesyen di sini. -Bernama