SEREMBAN: Pengangkutan Awam Darat (APAD) melantik dua syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres bagi laluan Seremban-Kuala Lumpur, menjadikan keseluruhan tiga syarikat menjalankan perkhidmatan itu di Terminal 1, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata usaha itu, bagi mengatasi masalah dihadapi pengguna yang perlu menunggu bas yang lama terutama pada waktu puncak.

Beliau berkata bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur masih menjadi pilihan penduduk sekitar daerah itu, terutamanya yang bekerja di Lembah Klang.

“Aduan diterima sebelum ini, ialah berkaitan tempoh masa menunggu lama disebabkan hanya satu operator sahaja menyediakan perkhidmatan bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata waktu puncak pada 5 pagi sehingga 7.30 pagi (Seremban ke Kuala Lumpur), 4.30 petang sehingga 8.30 malam (Kuala Lumpur ke Seremban).

“Perkhidmatan bas akan disediakan untuk setiap 15 minit, manakala bagi waktu luar puncak ialah 30 minit. Ini menyelesaikan masalah tempoh masa menunggu yang lama. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bilangan pengguna bas ekspres laluan Seremban ke Kuala Lumpur adalah 2,000 setiap hari dan kini hanya dalam 650 penumpang sahaja setiap hari,” katanya.

Dua syarikat baharu itu ialah Wawasan Sutera Travel and Tour Sdn Bhd atas jenama Aerobus yang menyediakan lima buah bas dan Ifwat Trans Travel and Tour Sdn Bhd (Ifwat) dengan dua buah bas manakala syarikat sedia ada iaitu Saptavarna Sdn Bhd (A Class) yang mengendalikan lapan buah bas. -Bernama