the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
30.1 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

APM sasar 10,000 penjawat awam sertai PSPA tahun ini

BANGI: Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyasarkan 10,000 penjawat awam menyertai Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA) tahun ini, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Abdul Wahab Rahim.

Abdul Wahab berkata pasukan itu setakat ini telah menerima penyertaan seramai 2,000 sukarelawan dan mereka telah selesai mengikuti Kursus Asas Sukarelawan Penjawat Awam di bawah seliaan APM.

“Insya-Allah boleh capai sasaran ini sebab penyertaan terbuka kepada semua penjawat awam di seluruh negara.

“Ini tugas mulia, jadi mana-mana penjawat awam yang berhasrat untuk berbakti kepada masyarakat bolehlah sertai PSPA,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan PSPA bagi penugasan pasca bencana ke Johor dan Pahang, di sini hari ini.

PSPA merupakan pasukan yang disertai penjawat awam mewakili kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Pada Mac lepas, mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri memutuskan supaya PSPA digerakkan semula bagi pengurusan pasca banjir di kawasan terjejas akibat bencana. Penjawat awam yang menyertai PSPA dianggap menjalankan tugas rasmi dan layak menerima elaun serta kemudahan yang berkelayakan.

Mengenai bidang tugas PSPA di kawasan bencana, Abdul Wahab berkata sukarelawan berkenaan akan bertindak sebagai pasukan petugas dalam melaksanakan kerja pembersihan di pusat pemindahan dan fasiliti awam serta menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas.

Katanya kewujudan PSPA dapat mempercepatkan usaha pemulihan pasca bencana serta memberikan pengalaman berharga kepada sukarelawan yang menyertai pasukan itu.

Beliau berkata pelepasan hari ini adalah kumpulan pertama yang digerakkan tahun ini, melibatkan 30 sukarelawan dari kalangan warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings