SARIKEI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei mengambil inisiatif mengadakan taklimat ringkas kesedaran keselamatan kepada pengunjung lokasi riadah di Sarikei sempena musim cuti persekolahan yang bermula hari ini.
Ketuanya Mahmudin Narudin berkata taklimat itu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan ketika orang ramai mengadakan aktiviti riadah khasnya di kawasan sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Sebanyak 12 lokasi riadah di Sarikei menjadi destinasi tumpuan orang ramai antaranya Taman Sebangkoi dan Lubok Lemba yang terdapat air terjun,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan sesi taklimat ringkas kepada 20 pengunjung inap desa di lokasi riadah di Selalang.
Beliau berkata taklimat ringkas itu berkaitan aktiviti keselamatan di sungai dan penekanan kepada pemantauan aktiviti anak-anak serta kesedaran keselamatan kebakaran di lokasi inap desa berkenaan. -Bernama