KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 wanita warga Indonesia dipercayai pelacur dalam serbuan di dua buah premis di kawasan Jalan Petaling dan Jalan Lebih Pudu menerusi Op Noda, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan bermula kira-kira 10 malam dan berusia 20-an hingga 30-an.

“Turut dirampas ialah kondom, botol minyak pelincir, tisu serta wang tunai.

“Siasatan awal mendapati kegiatan pelacuran di premis yang beroperasi bermula 5 petang itu mengenakan bayaran sekitar RM40 hingga RM50 bagi khidmat seks,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rusdi berkata wanita berkenaan disyaki masuk sebagai pelancong untuk menjalankan kegiatan pelacuran jalanan secara bebas.

Beliau berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, katanya.