SEREMBAN: Sebanyak 10,846 syarikat di Negeri Sembilan melibatkan 20,914 kenderaan yang layak, telah berdaftar dengan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata penganjuran Hari Terbuka MySubsidi Diesel 2.0 hari ini adalah untuk memberi pendedahan, sekali gus melancarkan pelaksanaan Fasa II SKDS 2.0 dan fleet card dengan tambahan 14 jenis pengangkutan darat barangan.

Beliau berkata inisiatif itu menarik hampir 400 pengguna atau syarikat bagi mendapatkan maklumat lanjut pelaksanaan SKDS 2.0, permohonan dan pendaftaran MySubsidi Diesel selain permohonan fleet card daripada lima syarikat minyak yang tersenarai.

“Selain itu, taklimat SKDS 2.0 serta kaunter pendaftaran dengan kerjasama beberapa peneraju syarikat minyak turut diadakan, bagi membantu syarikat di bawah Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Semenanjung Malaysia untuk membuat permohonan dengan lebih mudah dan lancar.

“KPDN juga masih membuka permohonan kepada kesemua jenis pengangkutan yang tersenarai dalam pelaksanaan SKDS 1.0 dan 2.0 dengan 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan fleet card,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zahir berkata syarikat yang memenuhi syarat kelayakan diesel bersubsidi 2.0 juga boleh memohon secara dalam talian menerusi Sistem MySubsidi Diesel di pautan http://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

Beliau berkata mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan SKDS 2.0 boleh menghubungi saluran pertanyaan di talian 0388826769.