SEREMBAN: Polis menahan 139 individu termasuk 17 warga asing menerusi Operasi Dadu/Noda Khas bagi tempoh 10 Jun hingga 23 Jun lepas.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Khalid Othman berkata sepasukan sembilan pegawai kanan dan 68 anggota Jabatan Siasatan Jenayah negeri telah menjalankan 100 serbuan aktiviti perjudian dan 11 kegiatan maksiat di seluruh negeri ini melibatkan tangkapan 120 lelaki dan 19 wanita.

Beliau berkata turut dirampas RM20,220 wang tunai daripada aktiviti perjudian dan RM4,193.80 daripada kegiatan maksiat serta peralatan hiburan.

“Polis serius membanteras aktiviti perjudian dan maksiat di negeri ini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan perkara tersebut juga boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan polis 06-7682222.