ALOR GAJAH: Sebanyak 14 daripada 701 kampung di tiga daerah di Melaka telah dinaik taraf sebagai projek perintis bagi pelaksanaan Kampung Digital setakat 24 Nov lepas.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata daripada jumlah itu, enam daripadanya di daerah Alor Gajah iaitu Kampung Pulau, Kampung Seri Jeram, Kampung Felda Hutan Percha, Kampung Baru Cina Machap Baru, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Lekok.

Beliau berkata daerah Melaka Tengah membabitkan Kampung Tanjung Minyak, Kampung Paya Rumput, Kampung Bukit Kechil Pernu dan Kampung Tun Razak manakala di daerah Jasin ialah Kampung Lipat Kajang, Kampung Tersusun Datuk Md Hidhir, Kampung Seri Kesang dan Kampung Kesang Jaya.

“Usaha menaik taraf kampung lain sebagai Kampung Digital sedang giat dilaksanakan secara berperingkat dan usaha ini dijangka selesai selewat-lewatnya akhir tahun hadapan.

“Sekarang ini, pihak pejabat daerah sedang berurusan dengan wakil rakyat kawasan masing-masing untuk memberi taklimat kepada ketua kampung terlibat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tentang peralihan kampung seterusnya,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran insentif sara hidup sekali beri fasa keempat kepada 303 nelayan di sini hari ini.

Fairul Nizam berkata kerajaan negeri melalui Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) juga dalam proses permohonan pendaftaran harta intelek untuk hak milik Kampung Digital.

Beliau berkata menerusi Kampung Digital juga, kira-kira 250,000 rakyat Melaka disasar akan mempunyai alamat e-mel khusus menggunakan domain @melaka.my sebagai platform untuk kerajaan negeri menyalurkan pelbagai maklumat terkini kepada mereka.

“Kampung Digital bertujuan menaik taraf kampung tradisional bagi melengkapkan setiap rumah dengan alamat lebih tepat, berbanding alamat secara umum yang masih menggunakan perbatuan,“ katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam usaha menambah baik akses Internet kepada rakyat, kerajaan Melaka bersetuju mempercepat urusan kelulusan pembinaan menara telekomunikasi di negeri itu daripada 26 minggu kepada empat minggu.

Menurut Fairul Nizam, Mesyuarat Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Melaka juga kerap diadakan bagi menyelaras permohonan pembinaan menara telekomunikasi membabitkan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa negeri.

Terdahulu, berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata pembayaran insentif berkenaan merupakan yang terakhir bagi tahun ini melibatkan 1,103 nelayan seluruh Melaka dengan jumlah implikasi kewangan sebanyak RM275,750 dan masing-masing menerima bayaran RM250.–Bernama