KUALA LUMPUR: Seramai 14 lelaki masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) bernilai lebih RM10,000, minggu lepas.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap K. Ramasamy, S. Ravi, Muhammad Hazim Zulkifli, Muhammad Haikal Mohd Khusairy, Zulfahmi Zuredisham, Asmadi Sobri, Muhammad Shahrul Rody dan Muhammad Ramadhan Mohd Razali.
Turut didenda ialah Syafizan Safri, Imam Rifai Lubis Muhd Tohad, Muhammad Zulfitri Zamri, Zainudin Zahari, Anas Azlan Rahim dan Zamzusukri Daud selepas kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah turut memerintah kesemua lelaki berumur antara 22 dan 58 tahun itu menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya mereka gagal membayar denda.
Mereka didakwa mencuri kabel tembaga pelbagai saiz bernilai keseluruhan RM10,000 milik TM di kawasan perumahan Jalan Lang Hitam, Kepong, Sentul, pada 4 pagi, 12 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa, manakala tertuduh S. Ravi diwakili peguam K. Komagan, sementara tertuduh-tertuduh lain tidak diwakili peguam.