Your Title

PELABUHAN KLANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memulia dan melupuskan 15 tan abu bahan serta teks al-Quran, menerusi Program Pemulian Abu al-Quran di perairan Pulau Angsa di Kuala Selangor.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) KDN Nik Yusaimi Yussof berkata abu daripada bahan serta teks al-Quran berkenaan, dibentuk menjadi kiub atau bongkah, kemudian dilepaskan pada jarak 13 batu nautika dari sini, pada kedalaman 10 meter.

“Secara keseluruhan 29.3 tan abu bahan serta teks al-Quran dilupuskan menerusi program kali kelima tahun ini, membabitkan pemuliaan 15 tan di Selangor hari ini, 10 tan di Pahang, Terengganu (2 tan), Sarawak (1.3 tan) dan Kelantan (1 tan),” katanya kepada pemberita pada sidang media program itu hari ini.

Nik Yusaimi berkata bahan atau teks yang mengandungi petikan ayat al-Quran dan juga al-Quran yang tidak mempunyai perakuan antaranya, turut diproses menjadi abu sebelum dibentuk kiub supaya ia mudah tenggelam.

“Ia kemudiannya dilepaskan di lautan yang sunyi serta bukan laluan utama kapal pada kedalaman tertentu.

“Kaedah pemuliaan ini juga mengikut Garis Panduan Pelupusan Teks al-Quran yang dikeluarkan KDN, melalui Lembaga Pengawalan Pelesenan dan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ),” katanya.

Nik Yusaimi berkata proses lain yang boleh dilaksanakan ialah menanam di tempat yang sunyi, jauh daripada laluan dan pada kedalaman tertentu, serta proses nyahdakwat tulisan dalam al-Quran yang prosesnya diterima pakai LPPPQ.

“Prosesnya adalah meleraikan dakwat sehingga tidak menampakkan sebarang bentuk tulisan pada kertas. Kertas itu kemudian boleh dikitar semula manakala dakwatnya dilupuskan mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk tidak mengambil jalan mudah menjual al-Quran dan bahan yang mengandungi petikan ayat suci sebagai kertas untuk dikitar semula kepada kegunaan lain, kerana ia tidak menepati syariah pemulian kitab suci berkenaan.

“Saranan kepada masyarakat adalah untuk menyerahkan al-Quran dan bahan kitab suci berkenaan kepada mana-mana pejabat Bahagian PK KDN di seluruh negara untuk dimuliakan (pelupusan), mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.