• 2025-09-15 05:46 PM

IPOH: Seorang lelaki dilaporkan hilang disyaki hanyut di Sungai Perak berhampiran Jeti Awam Kampung Pulau Belayar dekat Gerik pada malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik menerima laporan kehilangan mangsa berusia 53 tahun itu pada pukul 11.03 malam.

Siasatan awal mendapati mangsa pergi menjala ikan di kawasan Sungai Perak menggunakan bot miliknya berhampiran Jeti Awam Kampung Sungai Belayar.

Isteri mangsa berusia 50 tahun menerima panggilan daripada adiknya kira-kira pukul 8.30 malam memaklumkan penduduk kampung menjumpai barang-barang mangsa terapung berhampiran jeti.

Bot mangsa turut ditemui dalam keadaan separuh tenggelam di lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah digerakkan segera.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah memaklumkan operasi pencarian bermula pukul 8.30 pagi dengan fokus di permukaan sungai.

Lokasi mangsa dipercayai jatuh dianggarkan kira-kira 700 meter dari jeti dengan kedalaman air sungai mencecah satu meter.

Pasukan Penyelamat Di Air sedang dalam perjalanan ke lokasi untuk menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa Azri Md Sharif dilaporkan keluar kira-kira pukul 3.30 petang semalam untuk mencari ikan di sekitar Sungai Perak.

Isteri mangsa memaklumkan kebiasaannya Azri akan pulang sebelum pukul 7 malam sekiranya turun mencari ikan.

Penduduk kampung menjumpai barang milik mangsa termasuk selipar, pukat dan tong petrol yang hanyut di kawasan berhampiran.

Ahli keluarga mangsa turun mencari dan menjumpai bot mangsa yang tenggelam sebelum membuat laporan polis. – Bernama