MELAKA: Seramai 16 individu termasuk tiga warga China didenda berjumlah RM48,000 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, atas kesalahan menawarkan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud di United Kingdom, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan denda RM3,000 setiap seorang dan tujuh bulan penjara jika gagal bayar denda, selepas kesemua tertuduh yang masing-masing berumur antara 21 hingga 37 tahun itu, membuat pengakuan bersalah.
Tertuduh warga tempatan iaitu Ooi Shou Lian, 27, Foo Nian Cher, 37, Chong Teck Ann, 28, dan Ooi Soon Hong, 27.
Warga tempatan lain yang turut dituduh ialah Ngin Wooi Ching, 27, Yong Jian Wei, 25, Chan Kian Heng, 25, Tan Sheng Hooi, 27, Lee Wai Kong, 24, Chong Kok Wei, 21, Ahmad Asyraf Othman, 22, Liw Yit Loong, 27, dan Lee Wai Si, 22.
Tiga warga China yang yang dituduh pula ialah Xiao Kunmang, 24, Zhou Qi, 22, dan Yu Quan, 32.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati sebagai pihak kepada suatu pakatan jahat jenayah, telah terlibat memperdaya mangsa-mangsa di United Kingdom untuk menawarkan tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud.
Kesalahan tersebut dilakukan pada 21 Nov lepas sekitar 3.30 petang di sebuah rumah di Jalan Vista Kirana, Taman Vista Kirana dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin, mencadangkan supaya mahkamah memberi hukuman setimpal terhadap semua tertuduh.
Namun kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan denda minimum, kerana masing-masing perlu menanggung keluarga, malah ada antara mereka memerlukan wang bagi rawatan kanser. –Bernama