PUTRAJAYA: Dua pengurus kanan sebuah syarikat ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan kes memanipulasi maklumat pengguna sejak 2017 sehingga tahun ini.
Majistret Nuraisyah Mohd Yusof mengeluarkan perintah reman itu yang bermula hari ini hingga 27 Julai selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu yang berumur 38 dan 45 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
Menurut sumber itu lagi, kedua-dua individu terbabit ditahan susulan siasatan terhadap tujuh individu yang direman semalam membabitkan sindiket penyaluran maklumat peribadi pelanggan syarikat telekomunikasi kepada syarikat swasta dan mengaut keuntungan jutaan ringgit.
Siasatan terhadap dua individu itu dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. -Bernama