MELAKA: Seramai 222 premis di Melaka dikenakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan negeri kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi terkini. Tempoh penguatkuasaan bermula dari 1 Januari hingga 30 Mei lalu.
Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem, daripada jumlah itu, 116 premis merupakan tempat kerja termasuk premis perniagaan, 102 premis tempat makan, dan empat premis kedai dobi.
Pemeriksaan dijalankan ke atas 5,858 premis larangan merokok dalam tempoh tersebut. Ngwe menegaskan bahawa tanda amaran perlu dipamerkan di lokasi strategik seperti pintu masuk utama dan kawasan tumpuan pelanggan.
“Tanda tersebut mesti mengandungi simbol lengkap termasuk larangan terhadap rokok elektronik. Semua pihak perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Premis yang diwajibkan mempamerkan tanda larangan merokok termasuk tempat kerja, premis makanan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, kedai serbaneka, kenderaan awam, dan dobi layan diri.