KUALA LUMPUR: Terdapat 24 pengguna tidak dibenarkan (unauthorised user) yang meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan pengenalpastian (Identification) (ID) dalam sistem itu kerana terdapat dua ID dipegang oleh bukan pegawai Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan kes berkenaan telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mas Ermieyati berkata menerusi prosiding yang diadakan, PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2015 telah meluluskan pembangunan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan tingkap tunggal (single window).

“Ini sekali gus berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata PAC juga mendapati bahawa kontrak FWCMS masih belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan dan vendor sehingga tarikh prosiding terakhir PAC pada 13 Mac 2024, walaupun Surat Setuju Terima bagi pembangunan sistem FWCMS telah dikeluarkan pada 12 Jan 2018.

Pengerusi PAC itu juga berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan kepada pihak jawatankuasa bahawa vendor sistem FWCMS iaitu syarikat Bestinet Sdn Bhd telah memohon perlanjutan kontrak bagi tempoh enam tahun dan kenaikan caj kutipan daripada RM100 kepada RM120.

Pada 24 Jun 2024, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan kontrak selama tiga tahun lagi dengan syarikat Bestinet.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata PAC mengesyorkan lima perkara kepada kerajaan untuk dilaksanakan berhubung isu berkenaan, antaranya, KDN dan Bestinet Sdn Bhd hendaklah segera memuktamadkan keputusan perjanjian dan hala tuju sistem FWCMS.

“KDN juga disyorkan agar memastikan sebarang perolehan berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dirujuk kepada dasar dan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa oleh Jabatan Digital,“ katanya.

Selain itu, KDN hendaklah membetulkan kecelaruan yang berlaku dalam proses perolehan dan mencari jalan penyelesaian dengan segera serta bekerjasama dengan Kesuma bagi merangka pelan strategik yang menyeluruh berhubung pengurusan pekerja asing.

“PDRM juga perlu memaklumkan perkembangan terkini terhadap siasatan 24 permohonan kuota pekerja asing yang telah diluluskan,” katanya.