• 2025-07-12 09:36 PM

KOTA KINABALU: Seramai 2,500 peserta terdiri daripada warga perkhidmatan awam dan masyarakat Sabah menyertai Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) 2025 Wilayah Sabah di Stadium Likas.

Acara ini merupakan siri keempat jelajah MAPPA XX selepas Kuantan, Batu Kawan, dan Kuching.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor melepaskan peserta larian yang diadakan pada jam 7.30 malam itu. Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam, program ini mencerminkan komitmen bersama untuk memupuk budaya hidup sihat sebagai tanggungjawab kolektif.

“Program ini mencerminkan komitmen bersama, iaitu budaya hidup sihat adalah tanggungjawab kolektif yang merentas jabatan dan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan kebersamaan,“ menurut kenyataan itu.

Larian ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu 5 kilometer (km) dan 10 km. Penganjurannya merupakan kerjasama antara kerajaan Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Lembaga Sukan Sabah, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Program ini turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan kerjasama antara agensi di Persekutuan dan negeri serta sektor swasta ke arah kemampanan pembangunan negara melalui pendekatan kesihatan insaniah dan semangat perpaduan nasional,” tambah kenyataan tersebut.

Selain larian, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti pameran oleh agensi kerajaan dan Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga diskaun. - Bernama