KOTA KINABALU: Lebih 3,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Kampus Kota Kinabalu mendapat manfaat daripada inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (Dapur HEP). Program ini menyediakan makanan percuma setiap hari kepada pelajar yang memerlukan, terutamanya daripada golongan B40.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, program ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar serta menggalakkan budaya saling membantu dalam komuniti universiti.
“Saya sempat singgah di Dapur HEP UiTM Sabah Kampus Kota Kinabalu, mereka menyediakan kira-kira 60 kilogram beras untuk dimasak setiap hari dan diagihkan kepada lebih 3,000 pelajar.
“Semua persediaan memasak dan membungkus makanan dilakukan sepenuhnya oleh pelajar dan petugas universiti yang biasanya di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP),” katanya.
Program ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk petugas universiti, alumni, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, dan pihak korporat. Zambry turut menggesa agar lebih banyak institusi pengajian tinggi melaksanakan inisiatif serupa bagi memastikan tiada pelajar yang belajar dalam keadaan lapar.
“Kita tidak boleh membiarkan pelajar berdepan kesukaran sehingga tidak mampu makan, apatah lagi jika ia mengganggu tumpuan mereka dalam pengajian,” katanya. - Bernama