KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila 26 pensyarahnya tersenarai dalam dua peratus Saintis Terbaik Dunia 2025.
Senarai ini berdasarkan penilaian Universiti Stanford dan penerbit akademik terkemuka Elsevier dari Amerika Syarikat.
Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata senarai itu diterbitkan Elsevier menerusi laporan bertajuk Updated Science-Wide Author Databases of Standardized Citation Indicators versi kelapan.
Laporan tersebut menilai impak penyelidik berdasarkan petunjuk standard pemilihan.
Sebanyak tujuh pensyarah UMT disenarai dalam Kategori Sepanjang Kerjaya manakala 19 lagi dalam Kategori Setahun 2024.
Mohd Zamri berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan penyelidik UMT bersaing di peringkat global.
Beliau menegaskan ini merupakan penghormatan besar untuk universiti.
Pencapaian ini juga membuktikan sumbangan signifikan tenaga pakar UMT dalam penghasilan ilmu baharu.
Mereka turut terlibat dalam penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Kejayaan ini seiring dengan usaha UMT memperkukuh kedudukan sebagai universiti berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik yang berdaya saing di persada dunia.
UMT amat berbangga dengan pencapaian ini yang membuktikan saintis mereka mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia. – Bernama