GUA MUSANG: Sebanyak 8.1 tan daging korban diagihkan kepada kira-kira 1,200 golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah di sekitar Gua Musang sempena sambutan Aidiladha pada program agihan di Bandar Baru di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata sebanyak 27 ekor lembu disembelih bermula kira-kira 7 pagi.
“Kesemua lembu ini adalah sumbangan pelbagai pihak termasuk individu yang mengambil bahagian dalam ibadah korban tahun ini.
“Alhamdulillah, tahun ini jumlah daging korban yang dapat diagihkan jauh lebih banyak berbanding tahun lepas yang hanya melibatkan lima ekor lembu. Ini membolehkan lebih ramai penerima mendapat manfaat, khususnya mereka di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Galas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata program itu turut mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Asnaf Malaysia, Kawasan Rukun Tetangga Gua Musang dan Pusat Khidmat ADUN Galas.
“Saya berharap para asnaf di sekitar Gua Musang dapat merasai kemeriahan Aidiladha dan menikmati daging korban yang disediakan khusus untuk mereka,” katanya.