TANJUNG MALIM: Seramai 160 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini berlepas ke Jertih, Terengganu petang ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan di JRTB, berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Empat bas yang disediakan UPSI untuk membawa pelajar itu berlepas pada 5.25 petang dan dijangka tiba di Jertih lewat malam ini.
Pegawai Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPSI Mohd Halim Mat Zaki berkata mereka kemudiannya akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum bergerak ke kediaman keluarga mangsa.
“Inisiatif ini telah dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada pihak pengurusan UPSI dan mereka telah memohon kebenaran untuk membawa pelajar pergi melawat.
“Sifat keprihatinan yang tinggi ini biasa diamalkan di UPSI jika ada kejadian kematian atau musibah menimpa warga UPSI,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati suasana suram dan pilu menyelubungi pergerakan kumpulan pelajar berkenaan yang terdiri daripada rakan dan kenalan mangsa daripada pelbagai fakulti.
Dalam kemalangan antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi, 15 penuntut UPSI maut selepas bas sewa khas yang dinaiki dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak itu terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan MPV Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding, Perak.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.