MELAKA: Sebanyak 3,800 pek daging korban telah diagihkan kepada pelbagai lapisan masyarakat sempena Majlis Ibadah Korban Perdana Parlimen Hang Tuah Jaya bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata sebanyak 15 ekor lembu telah dikorbankan sebelum dagingnya diserahkan kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, warga emas, keluarga B40 serta penduduk setempat.
“Ibadah korban bukan sekadar tuntutan agama, malah menjadi simbol kasih sayang dan solidariti dalam kalangan masyarakat.
“Nilai inilah yang ingin kita suburkan di Hang Tuah Jaya supaya tiada yang terpinggir daripada merasai kemeriahan dan keberkatan Aidiladha,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata penganjuran majlis itu turut mencerminkan komitmen Parlimen Hang Tuah Jaya dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, inklusif dan kesejahteraan sosial.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, khususnya petugas dan sukarelawan yang hadir seawal pukul 8.30 pagi bagi memastikan kelancaran proses penyembelihan, pelapahan serta pengagihan daging korban.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya itu diadakan di Dataran Mat Riau, Bukit Baru dengan penglibatan kira-kira 120 petugas dan sukarelawan Angkatan Muda Keadilan (AMK).