ARAU: Sebanyak 383 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan di Perlis yang melibatkan kerugian RM5.1 juta bagi tempoh Januari hingga November lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata daripada jumlah itu, kes tertinggi ialah penipuan telekomunikasi atau phone scam yang mencatatkan 127 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM1,663,807.58 diikuti 110 kes berkaitan e-dagang melibatkan kerugian RM831,690.80.

“Dalam usaha menangani jenayah penipuan pada era digital ini, pelbagai program pencegahan jenayah komersial telah dijalankan, setakat November tahun ini, sejumlah 109 aktiviti antaranya 52 ceramah dan 36 pameran pencegahan jenayah berjaya dilaksanakan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) Perlis sentiasa berusaha untuk melaksanakan program pencegahan jenayah komersial secara lebih proaktif yang mampu memberikan impak lebih besar dan cepat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Town Hall - “Jenayah Penipuan Di Era Digital” di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad berkata sebanyak 171 kes keldai akaun direkodkan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga November lepas dan kesemua kes itu telah dituduh di mahkamah.

“Sebanyak 171 kes keldai akaun dicatatkan di Perlis bagi tempoh Januari hingga November lepas, ia berlaku sedikit penurunan berbanding tahun lepas (2022) iaitu sebanyak 174 kes,” katanya. - Bernama