the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 3, 2026
30.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Rumah empat generasi musnah dalam ribut di Kuala Langat

KUALA LANGAT: Sebuah rumah berusia lebih 60 tahun yang didiami empat generasi musnah teruk dalam tragedi ribut di Kampung Medan, Telok Panglima Garang petang semalam.

Nusiah Kasim, 83, berkata kejadian berlaku kira-kira 4 petang ketika dia sedang berehat bersama anak, cucu dan cicitnya sambil menunggu waktu solat asar.

“Saya menggendong cicit yang ketakutan akibat bunyi deruan angin serta petir,“ katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Nusiah bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun rumah mereka hampir musnah sepenuhnya terutama bahagian bumbung dan dinding kayu.

Seorang lagi mangsa, Zainah Abdul Majid, 52, berkata keluarganya kerugian lebih RM25,000 akibat bencana itu.

“Saya sudah bertanyakan kontraktor kos diperlukan untuk pembaikan dan mereka memaklumkan sebanyak RM18,000 diperlukan untuk membaiki bumbung,“ katanya.

Zainah berkata dia terdengar bunyi seakan-akan monyet sedang berlari di atas bumbung sebelum atap diterbangkan angin kuat seolah-olah puting beliung.

Katanya kejadian itu merupakan pengalaman pertama keluarganya berdepan detik cemas akibat ribut sepanjang 25 tahun menetap di kawasan itu.

Ketua Kampung Medan Azli Sabirin berkata kampung didiami 18,000 penduduk itu merekodkan hampir 40 rumah mengalami kerosakan.

“Sepanjang tempoh 50 tahun, ini adalah tragedi terburuk melanda kampung ini selepas kali terakhir dilanda banjir berskala kecil pada 2021,“ katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan kejadian pada 4.15 petang itu menyebabkan 11 murid Sekolah Rendah Agama Kampung Medan cedera ringan.

Seorang lelaki cedera di bahagian mata manakala seorang wanita patah kaki selepas dihempap besi dan kedua-duanya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Lima sekolah turut musnah termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya serta Sekolah Rendah Agama Kampung Medan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kebanyakan mangsa masih melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk pasukan Tenaga Nasional Berhad yang menggantikan kabel dan tiang elektrik rosak. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

US gives RM1 million for Tugu Negara restoration

US Embassy Chargé d'Affaires David H. Gamble Jr. said the contribution comes from the US government and the American people as a gift for Malaysia in celebration of its 70 years of independence next year.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings