• 2025-10-17 11:38 AM

BUKIT MERTAJAM: Dua remaja perempuan yang dilaporkan sesat ketika menjalankan aktiviti mendaki di Bukit Cherok Tokun berjaya ditemukan selamat oleh pasukan bomba selepas empat jam pencarian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada pukul 11.59 pagi.

Dua remaja berusia 18 tahun itu telah menghantar lokasi keberadaan mereka melalui aplikasi WhatsApp kepada pasukan penyelamat.

Operasi mencari dan menyelamat berdepan sedikit kesukaran disebabkan faktor bentuk muka bumi serta jarak yang agak jauh untuk sampai ke lokasi mereka.

Beliau berkata kedua-dua remaja tersebut berjaya dibawa turun ke kaki bukit dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi berkenaan telah tamat sepenuhnya pada pukul 4.45 petang menurut kenyataan rasmi daripada pihak bomba. – Bernama