Your Title

MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka memeriksa 4,117 premis makanan dan minuman di sekitar negeri itu dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini dan 16 daripadanya diarah tutup atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pemantauan berkala terhadap premis makanan dan minuman di negeri itu sepanjang tahun ini yang turut melibatkan aktiviti persampelan bagi memastikan operasi sektor berkenaan sentiasa bersih, selamat dan terjamin.

“Saya percaya, menerusi Program Outreach Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri khususnya di tempat-tempat pelancongan dapat meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap sektor makanan dan minuman di negeri ini sekali gus memartabatkan Melaka sebagai destinasi gastronomi negara.

“Usaha berkenaan akan diteruskan sepanjang tahun ini selaras dengan status Melaka sebagai negeri pelancongan yang terkenal sub-sektor pelancongan kulinari selain sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024),“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Menu Baharu Cafe Chef Wan Musim ke-4 yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengasas Cafe Chef Wan iaitu Datuk Redzuawan Ismail.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pemain industri makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa untuk membuka perniagaan mereka di Melaka.

Beliau berkata kepelbagaian dan keunikan makanan serta minuman yang terdapat di Melaka mampu menjadi daya tarikan untuk pelancong datang ke negeri itu sekali gus membantu menjana ekonomi pengusaha sektor berkenaan.

“Kebanyakan pelancong yang datang dari seluruh negara ke Melaka, selain melawat tempat menarik, pastinya mereka ingin mencari makanan yang enak.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Chef Wan yang merupakan ikon kulinari negara untuk membuka sebuah restoran makanan Melayu bertaraf antarabangsa di Melaka,“ katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Ab Rauf melancarkan Menu Baharu Cafe Chef Wan Musim ke-4 antaranya Arancini Ai Funghi, Ohnokauswe - Burmese Curry Noodle, dan Smoked Duck Rigatoni.