KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menyelamatkan 49 wanita warga Indonesia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam serbuan di 11 lokasi sekitar Klang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri M. Kumar berkata operasi itu dilaksanakan dari hari Jumaat hingga Isnin lepas.
Beliau menyatakan 14 individu termasuk dalang utama sindiket telah ditahan dalam serbuan tersebut.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 warga tempatan dan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 27 hingga 47 tahun,” katanya pada sidang media.
Mangsa yang diselamatkan berusia antara 20 hingga 47 tahun dan telah berada di Malaysia antara lima bulan hingga 13 tahun.
Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1.05 juta bersama 71 pasport Indonesia dan tiga kenderaan.
Kumar mendedahkan modus operandi sindiket adalah memperdaya mangsa dengan tawaran pekerjaan di kilang dan syarikat swasta.
“Mangsa dijanjikan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 tetapi sebaik tiba di Malaysia dikurung di lima buah rumah,” jelasnya.
Mangsa kemudian dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah, pembantu kedai makan dan pekerja salon tanpa dibayar gaji yang dijanjikan.
Sindiket turut mengawal pergerakan mangsa dengan menghantar dan mengambil mereka dari tempat kerja.
“Mangsa juga diugut akan dicederakan sekiranya melarikan diri dari rumah atau tempat kerja,” tambah Kumar.
Kesemua suspek warga tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Semua mangsa telah diberikan Perintah Perlindungan Interim selama 21 hari bagi tujuan siasatan lanjut. – Bernama