• 2025-09-07 10:05 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 500 notis advokasi dikeluarkan pada hari pertama pelaksanaan Kempen Advokasi Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) oleh Polis Kuala Lumpur yang bermula semalam di sekitar jalan-jalan utama di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kempen berkenaan bertujuan mendidik pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang trafik, terutama di pusat bandar sejajar dengan bandar raya moden yang setaraf dengannya.

“Sepanjang pelaksanaan hari pertama, sebanyak 500 helai notis advokasi telah dikeluarkan kepada pengguna yang melakukan kesalahan kecil tanpa dikenakan saman. Turut dikeluarkan ialah 24 notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 126 notis oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala empat kenderaan dikenakan tindakan tunda dan 24 kenderaan diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kempen OP PUU dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama DBKL, JPJ serta agensi kerajaan yang lain, dan turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Masih ramai pengguna jalan raya yang leka dan tidak mematuhi peraturan trafik. Kempen ini bersifat advokasi terlebih dahulu, namun tindakan saman akan diambil selepas tempoh advokasi ini berakhir,” katanya.

Fadil berkata kempen itu akan diteruskan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian- BERNAMA