NEW YORK: Walaupun hampir 92 peratus penduduk dunia kini mempunyai akses asas kepada elektrik, lebih 666 juta orang masih hidup tanpa kemudahan itu, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan kongsinya.
Laporan itu memberi amaran bahawa kadar semasa masih tidak mencukupi untuk mencapai akses sejagat menjelang 2030, salah satu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB. Jurang ketaksamaan serantau kekal ketara, dengan 1.5 bilion penduduk luar bandar masih tiada akses kepada penyelesaian memasak bersih.
Fatih Birol, Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), menyatakan bahawa 85 peratus penduduk tanpa elektrik berada di sub-Sahara Afrika. “Pengembangan bekalan elektrik dan akses memasak bersih masih terlalu perlahan,“ katanya.
Laporan itu mengenal pasti kekurangan pembiayaan sebagai punca utama ketidaksamaan serantau. “Aliran kewangan awam antarabangsa ke negara membangun bagi tenaga bersih meningkat sejak 2022, tetapi masih lebih rendah berbanding 2016.”
Kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta diperlukan untuk meningkatkan sokongan kewangan, terutamanya di Afrika.