• 2025-06-28 03:35 PM

KLANG: Sebanyak 80 peratus daripada 226 kes kemalangan di laut pada tahun lepas berpunca daripada kegagalan memakai jaket keselamatan, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Bahagian Operasi Udara APMM, Laksamana Pertama Maritim Mohd Tahir Khalid, berkata angka tersebut melibatkan 1,348 mangsa, dengan 1,259 berjaya diselamatkan, manakala 64 maut dan 25 lagi masih hilang.

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, APMM merekodkan 108 kes membabitkan 251 mangsa, di mana 36 kematian, 12 hilang, dan 203 diselamatkan.

“Trend kemalangan di laut terus meningkat, dan APMM mungkin berdepan peningkatan kes kematian dan kehilangan sehingga dua kali ganda menjelang akhir tahun ini,“ katanya semasa merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) 2025 di Persiaran Kapal Bugis, Tanjung Harapan.

Mohd Tahir menekankan bahawa APMM akan meningkatkan program kesedaran keselamatan, terutama bagi masyarakat yang sering berdepan risiko di laut.

“Penggunaan alat keselamatan seperti jaket sangat penting kerana pasukan penyelamat APMM memerlukan masa sehingga dua jam untuk tiba di lokasi kejadian,“ jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa kebanyakan mangsa kemalangan laut, termasuk nelayan, tidak memakai jaket keselamatan walaupun ia disyaratkan dalam lesen bot berdaftar.

Sambutan HKKM tahun ini bertemakan ‘Berapung Untuk Hidup’ bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya peralatan keselamatan di laut.