KANGAR: Sebanyak 90 peratus daripada 600 kes kebakaran yang direkodkan di Perlis bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, merupakan pembakaran terbuka, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma’at.

Beliau berkata kebakaran terbuka itu melibatkan kawasan belukar, kebun, ladang, tempat rekreasi dan sawah, selain kawasan lalang di tepi jalan sehingga berisiko mengancam keselamatan orang ramai.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai di negeri itu supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim cuaca panas, kerana ia turut boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar selain boleh menyumbang kepada kerugian harta benda.

“Hentikan dulu pembakaran terbuka, dan kalau perlu sangat membuat pembakaran, kawal lah kebakaran tersebut supaya tidak merebak ke kawasan awam yang lain.

“Sebab ada kes sebelum ini, bermula kebakaran belukar yang tidak terkawal telah merebak hingga menyebabkan kebakaran bengkel, menyebabkan kebakaran kenderaan, dan ini boleh mendatangkan kerugian harta benda dan juga mengancam nyawa kita,” katanya kepada Bernama.

Mohd Zaidi berkata demikian mengulas ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang meramalkan Monsun Barat Daya bermula 17 Mei lepas dan dijangkakan berterusan sehingga September yang akan menyebabkan cuaca menjadi lebih kering di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Beliau berkata nilai kerugian harta benda yang direkodkan daripada 600 kes kebakaran bagi tempoh Januari hingga April itu berjumlah RM2,366,350.