PENDANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah menahan 11 individu termasuk pasangan suami isteri yang disyaki penagih dadah dalam Operasi Cegah Khas 3.0 di sekitar daerah berkenaan.
Pengarah AADK Kedah Khairul Anwar Ahmad berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 40 tahun itu ditahan selepas didapati positif dadah methamphetamine di beberapa premis kediaman di mukim Ayer Puteh dan pekan Pendang.
“Pada tangkapan kali ini, terdapat pasangan suami isteri yang mempunyai bayi lelaki berusia tiga bulan, bagaimanapun bayi itu diserahkan kepada ahli keluarga, manakala suami isteri itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Khairul Anwar menegaskan AADK Kedah sentiasa komited dalam memastikan masalah dadah di Pendang yang juga daerah tertinggi kes penagihan dadah di negara ini dapat dikawal.
Beliau berkata pihaknya cuba meminimumkan kadar penagih dadah baharu di negeri ini.
Operasi yang bermula 9 pagi dan berakhir 1 tengah hari itu melibatkan lebih 10 anggota serta pegawai agensi terbabit.
Khairul Anwar berkata pihaknya akan terus mempergiatkan program-program pencegahan dengan dibantu 1,100 ahli skuad AADK di seluruh negeri bagi mengekang penyalahgunaan dadah.
Beliau mendedahkan dari Januari hingga 31 Ogos lepas, 2,965 individu disyaki penagih dadah ditahan menerusi 339 operasi yang dijalankan di 11 daerah di negeri berkenaan.
Menurut Khairul Anwar pemeriksaan lebih ketat juga akan dilaksanakan di sempadan Bukit Kayu Hitam bagi mengekang golongan belia termasuk pelajar negara ini, yang berhibur dan mengambil dadah di negara jiran.
“Kami tengok trend hari ini, bayangkan budak sekolah dia boleh berhibur di sempadan,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelajar universiti juga keluar makan di sempadan negara pada sebelah malam, dan pihaknya ingin menangani isu ini dengan memahami bahawa Danok, Thailand itu meriah dengan pusat hiburan.
“Dalam tempoh dua minggu ini terdapat tiga kes pelajar dan belia positif dadah selepas pulang berhibur di sana,” ujarnya.
Khairul Anwar berkata beliau telah memberi arahan kepada anggota untuk tingkatkan operasi kepada belia berumur 18 hingga 39 tahun yang menaiki motosikal, tidak kira lelaki atau perempuan.
Beliau menegaskan pihaknya sedang memperkasakan lagi operasi di sempadan tersebut. – Bernama